twitter
rss





PENERIMAAN

Tahap penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan. Tahap penerimaan pula akan menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar ataupun pembaca sesebuah teks. Sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau penutur akan ditentukan oleh kefahaman seseorang pembaca ataupun pendengar. Dalam konteks penerimaan ini, pendengar atau pembaca merupakan penerima kepada sesebuah wacana.


Penerimaan Tinggi
Tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar ataupun pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tahap penerimaan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:

Pokok kari atau nama saintifiknya ialah Murraya Koenigii merupakan sejenis pokok yang kecil, malar hijau dan ketinggiannya boleh mencapai 3 hingga 5 meter. Batangnya tidak begitu lurus, berdahan banyak dan bercabang-cabang. Batang pokok kari ini adalah jenis kayu lembut ketika muda dan menjadi kayu yang keras apabila dewasa. Daun kari mempunyai susunan yang bertentangan dengan bentuk epiliptik berukuran 2 hingga 3 cm Panjang dan 1.0 hingga 1.5 cm lebar. Daun kari ini akan membentuk silara yang agak rimbun. Daun kari ini mempunyai bunga kecil yang berwarna putih.

Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini demikian kerana, ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca tentang sesuatu perkara, iaitu berkaitan dengan pokok kari. Tahap penerimaan seseorang pembaca terhadap teks tersebut dapat dinilai kerana pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa tahap tujuan seseorang penulis dengan tahap penerimaan pembaca adalah sama.

Penerimaan Rendah

Penerimaan rendah merujuk kepada sesuatu ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur yang tidak bermakna. Tahap penerimaan rendah berlaku sekiranya pembaca ataupun pendengar tidak dapat memahami sesuatu ayat yang tidak bermakna. Hal ini demikian kerana ayat tersebut tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana. Contoh ayat adalah seperti berikut:

      Persembahan deklamasi sajak oleh Ahmad amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh. Persembahannya begitu hambar dan membosankan.

Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut tidak mempunyai kesinambungan dan tidak ada perkaitan antara ayat pertama dengan ayat kedua. Sepatutnya apabila persembahan deklamasi sajak oleh Ahmad amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh, maka sudah tentu persembahannya tidak hambar dan tidak membosankan. Contoh ayat tersebut telah memberi kekeliruan makna kepada pendengar atau pembaca. Oleh itu, ayat di atas digolongkan sebagai tahap penerimaan yang rendah kerana tahap tujuan penulis atau penutur tidak sampai dengan jelas kepada pembaca atau pendengar.

0 comments:

Post a Comment