twitter
rss



Menurut Mohd Rashid Md Idris et. al (2018), terdapat dua pendapat yang memperkenalkan asal usul perkataan ‘wacana’. Pendapat pertama mengatakan ‘wacana’ berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu ‘wocono’. ‘Wocono’ ini pula daripada ‘woco’ yang bermaksud baca. Pendapat kedua pula mengatakan wacana daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu ‘discourse’ yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu ‘discursus’ yang bermakna ‘larian ke dan lari’. Sanat Md Nasir (1986) dalam Mohd Rashid Md Idris et. al (2018) mendefinisikan wacana sebagai teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat baik secara fonik atau grafik. Menurut beliau lagi, wacana boleh bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa, menyamai maksud analisis wacana, analisis teks, linguistik teks atau linguistik wacana.


Menurut Fairclough (2003) dalam Idris Aman (2016), wacana ialah pandangan khusus tentang penggunaan bahasa sebagai satu unsur kehidupan sosial yang berkait rapat dengan unsur lain. Wacana ialah satuan bahasa yang lengkap serta yang benar-benar digunakan untuk komunikasi dan mempunyai maksud (Idris Aman, 2016). Terdapat tujuh ciri ketekstualan wacana, iaitu runtutan, tautan, keadaan, interteks, struktur maklumat, serta tujuan dan penerimaan. Seterusnya, Mohd Rashid Md Idris et. al (2018) mentakrifkan wacana sebagai unit tatabahasa atau linguistik tertinggi yang melangkaui batas ayat. Wacana ini juga merupakan satuan bahasa terlengkap, dalam hierarki gramatikal yang tertinggi. Wacana boleh direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh, paragraf atau kata yang membawa amanat yang lengkap.

0 comments:

Post a Comment