twitter
rss


Tujuan Wacana


1. Menimbulkan Interaksi Komunikatif
Wacana yang dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan interaksi komunikatif, iaitu komunikasi antara penutur dengan pendengar dan komunikasi antara penulis dengan pembaca. Kedua-dua komunikasi ini masing-masing terlibat dengan komunikasi lisan atau komunikasi tulisan. Tujuan sesebuah wacana melibatkan dua aspek utama, iaitu aspek tautan dan runtutan. Hal ini demikian kerana kedua-dua aspek ini merupakan aspek penting dalam pembentukan sesebuah wacana supaya teks atau wacana tersebut mempunyai makna yang jelas dan difahami oleh pembaca atau pendengar.

Tujuan dalam hubungan komunikasi antara dua hala ini penting supaya teks atau wacana yang dihasilkan oleh seseorang itu tidak menyimpang atau tidak difahami daripada makna asal teks itu dihasilkan. Penghasilan wacana yang bermakna dapat dihasilkan sekiranya seseorang penulis atau penutur dapat memahami atau menguasai dengan lebih jelas mengenai tujuan sesebuah wacana yang dibentuk. Seseorang penulis atau penutur perlulah mengetahui tujuan dalam penggunaan wacana serta menentukan jenis wacana yang hendak digunakan. Hal ini untuk memastikan wacana yang dibentuk dapat menepati tujuan sebenar sesebuah wacana atau sesebuah teks dibentuk. Tambahan pula, sesebuah wacana yang dibentuk mempunyai perkaitan antara teks yang dibentuk. Dalam konteks ini, makna terbahagi kepada dua makna, iaitu makna dasar dan makna pragmatis. Makna dasar merujuk kepada makna yang ditanggapi tanpa mengambil kira konteks, manakala makna pragmatis pula merujuk kepada makna sebenar yang berpandukan konteks tertentu.


2. Mendapatkan Sesuatu Maklumat

Tujuan wacana yang seterusnya ialah mendapatkan sesuatu maklumat. Pada kebiasaannya seseorang itu mendapatkan maklumat dengan menggunakan ayat tanya. Ayat tanya digunakan oleh penutur atau penulis untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan terperinci mengenai sesuatu topik yang ingin dibincangkan. Misalnya:


Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas, ayat tanya digunakan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Sebagai contoh ayat (i) Siapakah pemain piano itu?, penutur atau penulis menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat berkenaan pemain piano yang handal tersebut.

Contoh ayat (ii) Bagaimanakah keadaan kaki nenek kamu?, yang menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan kaki nenek Ahmad. Ayat (iii) Bilakah hari jadi adik kamu?, pertanyaan diujarkan adalah untuk mendapatkan waktu atau masa hari jadi adiknya.

Bagi contoh ayat (iv) Pertandingan bercerita itu diadakan pada minggu hadapan? pula, pertanyaan diujarkan adalah untuk memastikan bahawa pertandingan bercerita itu diadakan pada minggu hadapan atau tidak. Contoh terakhir ialah ayat (v) Bas itu sudah bertolak?, yang ditanyakan untuk memastikan samada bas tersebut sudah bertolak atau belum.


Berdasarkan keterangan yang dijelaskan di atas, menunjukkan penutur ataupun penulis akan menggunakan ayat tanya untuk tujuan mendapatkan sesuatu maklumat tentang sesuatu perkara.

3. Menyampaikan Maklumat
Dalam penghasilan sesebuah wacana, penutur atau penulis akan menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk membuat satu pernyataan serta mempunyai tujuan untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu perkara. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan. Contoh ayat adalah seperti berikut:



Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas, penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata untuk memaklumkan ataupun menyampaikan sesuatu maklumat. Sebagai contoh, ayat 1 pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Ayat tersebut diujarkan penulis atau penutur untuk menyatakan tempat pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran kepada pembaca atau pendengar ialah di perpustakaan.

Contoh ayat 2, Normah  tidak  pergi ke sekolah pada hari ini, penulis atau penutur menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan maklumat bahawa Normah tidak pergi ke sekolah pada hari ini. Kemudian, ayat 3 Datuk sedang berehat di ruang tamu pula, penulis dan penutur menyampaikan maklumat tempat datuk sedang berehat. Contoh terakhir ayat 4, Siti sekeluarga akan melancong di Taiwan. Penulis dan penutur menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan maklumat mengenai tempat Siti sekeluarga akan melancong.

Oleh itu, penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata apabila tujuan untuk membentuk wacana adalah untuk menyampaikan sesuatu maklumat ataupun sesuatu perkara kepada pembaca mahupun pendengar.

4. Menjadikan Sesuatu Tindakan Berlaku
Tujuan wacana yang seterusnya ialah menjadikan sesuatu tindakan berlaku dengan menggunakan ayat perintah. Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Terdapat empat kategori ayat perintah, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.

Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan, manakala ayat larangan pula ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan dan usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Selain itu, ayat silaan merujuk kepada ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Akhir sekali, ayat permintaan merupakan ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong dengan tujuan untuk memohon permintaan dan pertolongan. Contoh ayat adalah seperti berikut:



Ayat (a) Pergi kamu dari rumah ini! merupakan ayat suruhan, iaitu mengkehendaki pembaca atau pendengar pergi dari rumah tersebut. Selain itu, dalam ayat (b) Jangan ambil harta orang lain pula, merupakan ayat larangan yang melarang pembaca atau pendengar mengambil harta orang lain.

Dalam ayat (c) Sila serahkan borang permohonan tersebut ke pejabat, tergolong dalam ayat perintah jenis ayat silaan yang mengalu-alukan pembaca atau pendengar untuk menyerahkan borang permohonan tersebut ke pejabat. Ayat (d) Minta kamu semua bertenang pula tergolong dalam ayat perintah jenis ayat permintaan. Ayat tersebut meminta pembaca atau pendengar berada dalam keadaan tenang.

5. Memerikan Teks
Menurut Henry Guntur Tarigan (1995:77) dalam Mohd Rashid Md Idris (2018), tujuan wacana adalah untuk memerikan teks serta berupaya untuk menjadikan teori wacana sebagai pegangan umum.


Tujuan memerikan teks adalah untuk memudahkan penutur atau penulis memahami serta memanfaatkan teks atau kelompak teks. Hal ini bermaksud penutur atau penulis dapat memerikan teks bertujuan untuk menghasilkan sesebuah wacana berdasarkan idea topiknya. Selain itu, memerikan teks juga bertujuan untuk memudahkan penulis membuat perbandingan antara teks-tkes ataupun bahagian-bahagian teks, di samping memudahkan penulis melihat persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam sesebuah wacana. Hal ini menjelaskan bahawa seseorang penulis dapat menunjukkan dengan tepat mengenai sesuatu yang menjadi ciri khas kepada sesebuah teks.

0 comments:

Post a Comment